Akuarium: Pam Udara

akuarium

Adakah pam udara diperlukan ke dalam setiap jenis akuarium dan apakah tugas sebenarnya di dalam ekosistem akuarium?

Tugas utama pam udara adalah untuk membekalkan oksigen terlarut yang amat penting dan diperlukan ke dalam air untuk digunakan oleh ikan ataupun hidupan akuatik yang lainnya untuk bernafas. Tidak dinafikan ada sesetengah ikan terutamanya ‘ikan kampung’ seperti puyu dan sepat mampu untuk mengambil oksigen secara terus daripada permukaan air tetapi kadar oksigen terlarut di dalam air yang mencukupi juga adalah penting untuk memastikan ekosistem akuarium tersebut berjalan dengan selamat. Ini kerana di dalam akuarium bukan hanya ada ikan sahaja tetapi lebih daripada itu.

Kadar oksigen terlarut sebenarnya tidak sama antara satu ekosistem dengan ekosistem yang sama. Boleh berubah di atas beberapa sebab seperti tekanan udara dan suhu air.

Suhu Air

Semakin tinggi suhu air, semakin kurang oksigen terlarut di dalam air. Apabila kita lihat dalam konteks ekosistem akuarium di Malaysia dengan suhu yang sekitar 28-30 darjah Celsius, boleh kita mengatakan bahawa kandungan oksigen terlarut di dalam air agak rendah berbanding mereka yang menggunakan penyejuk yang akan merendahkan suhu air kepada 25 darjah Celsius. Antara kaedah yang boleh di buat dalam meningkatkan oksigen terlarut di dalam akuarium adalah dengan menggunakan pam udara.

Pam udara secara mekanikal akan mengepam udara masuk daripada luar ke dalam akuarium yang dibantu dengan batu angin. Batu angin akan mengecilkan saiz udara secara individu yang akan meningkatkan luas permukaan udara yang terdedah kepada air dan membantu meningkatkan kadar kelarutan oksigen ke dalam air.

Tetapi untuk menjawab adakah semua ekosistem akuarium memerlukan pam udara, jawapannya bergantung kepada beberapa keperluan seperti:

  • Jumlah hidupan
  • Jumlah pokok hidup
  • Jumlah bahan organik mereput
  • Pergerakkan air

Jumlah Hidupan

Jumlah hidupan fauna di dalam sebuah akuarium amat mempengaruhi keperluan pam udara di dalam akuarium. Ini kerana setiap hidupan di dalam akuarium memerlukan oksigen untuk hidup. Walaupun bukan ikan, tetapi udang, siput, ketam, cacing dan bakteria juga memerlukan oksigen terlarut untuk terus hidup. Maka jika ikan sering dilihat hanya duduk di atas permukaan air untuk menghirup udara daripada luar maka dicadangkan untuk menggunakan pam udara.

Tetapi bergantung kembali kepada jenis ikan. Ada ikan yang memang suka bermain di atas permukaan air seperti guppy.

Jumlah Pokok Hidup

Pokok hidup dapat membantu dalam menghasilkan oksigen terlarut di dalam air semasa proses fotosintesis. Jika akuarium tersebut mempunyai kadar pokok hidup yang mencukupi, pam udara tidak diperlukan kerana oksigen terlarut sudah cukup banyak tetapi kembali semula kepada suhu air, kemungkinan walaupun pokok hidup ada dalam kuantiti yang banyak namun oksigen terlarut tidak dapat di simpan di dalam air disebabkan suhu air yang tinggi.

Dalam kes ikan yang tidak sesuai diletakkan pokok hidup seperti ikan emas, maka pam udara adalah amat penting. Boleh dikatakan sebagai wajib.

Jumlah Bahan Organik Mereput

Dalam bahasa paling mudah, tahi ikan atau daun pokok yang mati. Semua ini adalah bahan organik yang mereput. Apabila sesuatu bahan mereput, oksigen diperlukan. Jika tidak proses reputan tersebut tidak menjadi dengan lancar. Perkara ini dapat dikurangkan dengan membuat selengaraan yang kerap untuk membuang bahan organik keluar daripada akuarium. Bahan organik mereput yang tinggi juga akan meningkatkan kehadiran ammonia dan CO2 yang tinggi di dalam air dan akan mengancam keselamatan hidupan akuatik.

Ini juga dapat dibantu dengan mempunyai filter yang bagus.

Pergerakan Air

Pergerakan air merujuk kepada pergerakan air di permukaan dan juga di bawah permukaan air. Tujuannya adalah dengan mendapat pergerakan permukaan air yang baik, kebarangkalian untuk oksigen terlarut hadir adalah lebih tinggi daripada permukaan air yang tidak bergerak. Dan pergerakan air di bawah permukaan air adalah untuk menyebarkan oksigen terlarut tadi kepada keseluruhan akuarium. Pergerakan air boleh dibantu dengan menggunakan lily pipe atau menjadikan pengeluaran air daripada filter diletakkan di permukaan air.

Kesimpulan

Oksigen terlarut adalah penting kepada hidupan akuatik. Memastikan oksigen terlarut mencukupi adalah penting untuk memastikan hidupan akuatik tidak mati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.