Taman: Sungkupan

Sungkup atau mulch adalah satu kaedah menutup tanah atas (topsoil) daripada tiga perkara:

  1. Hakisan yang berlaku apabila air melalui ketika siraman atau hujan.
  2. Penyejatan melampau menyebabkannya kering.
  3. Pertumbuhan rumpai yang sukar dikawal.

Maka untuk mengatasi masalah ini, sungkupan atau mulch dicadangkan.

Bahan Sungkupan

Ada pelbagai kaedah sungkupan yang boleh digunakan. Sama ada organik mahupun tidak organik. Contoh bahan organik adalah:

  • Daun kering
  • Serpihan kayu
  • Serbuk kopi

Manakala bahan bukan organik yang biasa digunakan adalah plastik hitam.

Untuk skala kecil, aku cadangkan untuk menggunakan sungkupan organik di atas dua perkara iaitu:

  • Mengatasi 3 masalah di utama.
  • Nutrien tambahan yang akan terurai menjadi tanah atas yang baharu.

Jangan Terlalu Banyak

Tetapi dalam menggunakan sungkupan organik terdapat satu perkara yang perlu diambik perhatian iaitu jangan terlalu tebal sehinggakan bahan sungkupan menjadi terlalu lembap sepanjang masa. Ini kerana jika bahan sungkupan yang mempunyai tinggi nutrien seperti serbuk kopi mahupun teh berada dalam keadaan terlalu lembap, serangan kulat akan mudah terjadi. Lebih lagi jika kedua tersebut dalam keadaan serbuk. Jika serangan kulat masuk ke bahagian akar, pokok anda boleh mati secara tiba-tiba.

Aku sendiri pernah mendapat masalah ini apabila menanam pokok timun jepun. Pokok yang sihat tetapi sungkupan terlalu tebal (teruja mungkin) dan berlaku serangan kulat menyebabkan pokok yang hari ini segar, keesokkan harinya terus layu walaupun tanah dalam keadaan lembap.

Aku selalu gunakan sungkupan biji kopi hancur kerana selalunya di rumah akan buat kopi sendiri dan serbuk atau biji kopi hancur tersebut akan di letakkan di atas permukaan tanah mengikut keperluan. Sebagai contoh, ada 6 pasu anak pokok limau nipis yang ditanam, maka aku memerlukan biji kopi hancur selama 6 hari untuk memenuhkan semua pasu dengan sungkupan.

pokok-tanpa-sungkupan
Contoh tanah atas pokok tanpa sungkupan.
pokok-dengan-sungkupan
Contoh tanah atas pokok dengan sungkupan biji kopi hancur.

Tiada benih rumpai

Perkara terakhir sebelum anda membuat sebarang jenis sungkupan adalah untuk memastikan tiada benih rumpai di tanah sedia ada terutamanya jika menggunakan sungkupan organik kerana sungkupan organik tidak mempunyai kadar legapan kepada cahaya yang tinggi seperti mana plastik. Ini untuk memastikan halangan sungkupan kepada rumpai lebih bagus.

One thought on “Taman: Sungkupan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.