Taman: Topsoil

Antara perkara yang aku buat untuk pastikan tanaman sentiasa mendapat khasiat adalah menukar topsoil. Bila kali terakhir anda tukar topsoil untuk tanaman anda?

Apa itu topsoil?

Topsoil adalah lapisan yang paling atas yang dikatakan antara 2 hingga 8 inci daripada permukaan tanah. Kepentingan topsoil kepada tumbuhan adalah membekalkan nutrient kepada tanaman kerana di lapisan ini adalah lapisan yang mempunyai paling tinggi bahan organik mahupun organisma. Oleh kerana perkara tersebut kebanyakkan akar tumbuhan akan berada di bahagian ini untuk memudahkan proses penyerapan nutrient sebelum menuju ke bahagian subsoil jika tiada pilihan.

Dalam konteks tanaman kecil-kecilan, perkara yang selalu diabaikan adalah keadaan topsoil. Ini kerana selalunya apabila sesebuah pokok ditanam, kita jarang untuk membuat penanaman semula atau penukaran topsoil kepada tanaman kita. Akhirnya permasalahan seperti akar terlalu padat, tanah menjadi keras, pokok tidak mendapat nutrient akan berlaku. Maka ini adalah kaedah aku dalam membuat penyelengaraan tanaman.

  1. Keluarkan sekitar dua inci tanah (sekitar satu ruas ibu jari) daripada sekitar tanaman tidak kira sama ada di dalam pasu atau di atas tanah.
  2. Letakkan tanah baharu untuk menggantikan tanah yang lama.
  3. Siram seperti biasa untuk pastikan tanah baharu tersebut dalam keadaan lembap.
  4. Tertib.

Antara sebab untuk mengeluarkan tanah sekitar dua inci adalah kerana jika terdapat akar-akar rumpai pun akan terkeluar sekali. Dan dengan mengeluarkan tanah di atas tersebut juga dapat melonggarkan akar di atas dan menggalakkan pertumbuhan akar baharu. Digalakkan juga untuk menambah sungkupan seperti daun kering agar pertumbuhan rumpai baharu dapat dikawal kerana tanah yang baharu kaya dengan nutrient dan rumpai amat menyukainya. Tetapi jangan terlalu tebal kerana boleh membunuh pokok.

Tanah Lama?

Apa yang boleh dibuat dengan tanah yang lama? Selain dibuang (membazir sumber bagi pendapat aku), anda boleh memulakan kaedah kompos dengan menggunakan tanah yang telah diguna untuk dikitar semula menjadi tanah berkompos yang boleh digunakan untuk penyelengaraan akan datang.

Caranya, cari satu bekas yang legap, masukkan bahan kompos seperti rumput, sisa dapur yang tidak berminyak seperti kulit bawang, lapiskan di antara bahan kompos dengan tanah yang telah digunakan. setiap lapisan sekitar dua inci. Jika boleh di bahagian bawah bersambung dengan tanah agar mudah untuk ulat dan cacing untuk naik ke atas. Jika tidak, anda perlu memasukkan secara manual cacing dan ulat di dalam tanah untuk mempercepatkan proses penguraian bahan kompos.

Proses pembuatan kompos adalah perlahan. Kerana bergantung kepada jumlah organisma yang terdapat di dalam tana untuk membantu proses penguraian. Aku galakkan korang memastikan bahan organik tersebut dalam keadaan kecil bukannya besar untuk meningkatkan luas permukaan yang akan meningkatkan kadar penguraian. Jika kaedah anda buat adalah betul, bau bukanlah satu masalah.

Dalam masa dua bulan anda boleh menggunakan bahan kompos tersebut untuk diguna semula dalam proses penyelengaraan topsoil. Jimat duit dan anda baru sahaja membantu dalam mengurangkan penghantaran sisa organik ke tapak pelupusan sampah.

Nota: Jika tanaman dalam pasu dan akar terlalu padat, perlu buat penanaman semula. Antara ringkaskan akar (teknik bonsai) atau tukar pastu yang lebih besar. Keseluruhan tanah perlu ditukar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.