Aku sepasang kasut

Aku terjaga dari tidur yang panjang. Di sebalik semak yang gelap dan meninggi, di situ aku masih terbaring keseorangan. Dibiarkan sedang air dari langit merintik air dingin membasahi muka dan badanku. Ah hujan rupanya. Bukan aku pinta untuk lahir ke dunia ini sebagai peti sejuk. Yang apabila elok disukai kerana isi badanku yang sejuk. Tetapi apabila rosak, semak menjadi temanku. Apakan daya, sudah nasibku. Derap-derap bunyi tapak kaki sesekali aku dengar apabila orang berjalan-jalan melintasi laluan di sekitar ku. Alangkah bagusnya jika aku adalah sepasang kasut, menjadi sebelah kasut pun sudah mencukupi. Ah biarkan aku tidur lagi.

Aku terjaga sekali lagi aku terdengar bunyi bising bisik-bisik dari suara yang ramai. Aku tidak pasti dimana. Keadaan gelap gelita. Yang pasti ada bunyi lori dan bau sekeliling adalah seperti bau kulit binatang yang telah di proses. Ku raba sekeliling badanku, aku jadi sedikit aneh kerana tiada badan yang besar dan berat tetapi hanya sekeping sahaja badanku kini. Aku kurang pasti apa yang terjadi selepas itu, yang aku ingat hanya beberapa perkara.

Aku terlihat cahaya terang dan kemudian ada beberapa tangan-tangan manusia mahupun bukan manusia yang aku rasa itulah mereka kata robot. Aku dipotong beberapa kali, kepada beberapa bahagian. Sakitnya bukan kepalang tetapi apabila aku menjerit tiada siapa yang mendengarnya. Kemudian ku dijahitkan semula. Dicantum satu persatu bahagian badanku dan setelah aku sedar apa yang sedang berlaku, aku tahu aku bukan lagi peti sejuk yang dahulu tetapi aku kini ialah sepasang kasut kulit berkilat  berwarna hitam pekat dengan gaya Oxford. Kagum aku dengan diriku yang baru kerana menjadi sepasang kasut yang punya citarasa yang tinggi di dalam fesyen.

Tidak lama aku di kedai, aku mendapat tuan yang baharu. Seorang pekerja eksekutif di sebuah pejabat ternama. Dia memakaiku hampir setiap hari kerana ada masanya dia merehatkan aku kerana katanya adalah untuk menjadikan aku tahan lebih lama. Aku suka. Dia menggilapku hampir setiap minggu. Paling tidak dia akan memberus badanku. Aku membantunya untuk berjalan ke banyak tempat. Dari pagi hingga petang, dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Dari satu pejabat ke pejabat yang lain.

Tetapi semua itu tak lama, selang beberapa tahun dia mula mengabaikan ku. Kadang-kala aku termasuk ke lopak air, kadang-kala debu dan pasir menhinggapi badanku. Tuan ku ini tidak rajin sangat membersihkan aku. Masa beli dahulu dia memang rajin tetapi kini sudah tidak lagi. Lama kelamaan badanku menjadi capuk dan rosak kerana tidak dijaga dengan betul. Apabila semakin rosak dia cuba membaiki ku tetapi tukang kasut yang ditemuinya mengatakan aku sudah tidak boleh dibaiki lagi kerana rosaknya terlalu banyak dan kosnya terlalu tinggi. Tuan ku mendengus kerana dianggapnya kualiti aku tidak bagus walaupun hargaku mahal. Sedih aku mendengar tohmahan tersebut.

Aku dicampakkan ke tong sampah kerana tidak mampu lagi diperbaiki. Selang beberapa hari, pekerja pengumpul sampah mengambil ku dan mencampakkan pula ku ke perut lori sampah yang besar. Tergolek aku ke dalam timbunan sampah tersebut. Aku nampak pintu lori sampah sudah mula menutup secara perlahan. Selamat tinggal dunia. Selamat tinggal semua. Aku menutup mata sambil air mata ku berjurai ke pipi.

Tiba-tiba aku terjaga. Ah, aku bermimpi. Aku kini menjadi peti sejuk yang ditinggalkan semula. Aku terjaga kerana ada seorang yang sedang menaikkan ku ke atas sebuah lori. Di dalam lori tersebut ada beberapa barang rosak yang lain. Kata mereka, lelaki ini orang yang suka memberikan hidup baru kepada barangan rosak seperti aku dan mereka. Maka aku tersenyum, mungkin ada baiknya aku bukan sepasang kasut.

Nota: Imaginasikan diri anda sebagai sebuah peti sejuk. Tulis karangan tentang “Aku Sepasang kasut”. (25 Markah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.