4 Teori

Dapatan aku daripada permainan Kerbal Space Program, aku berpendapat terdapat 3 perkara yang mungkin terjadi kenapa perkara seperti gambar di bawah terjadi. Tetapi merujuk kepada satu perkara yang sama iaitu daya angkat.

  1. Tekanan atmosfera yang rendah
  2. Masalah enjin yang tidak memberikan daya angkat
  3. Masalah aerodinamik
  4. Berat berlebihan

Tekanan atmosfera yang rendah dapat kita abaikan kerana mengikut laporan pihak di sana, cuaca baik.

Masalah enjin mungkin berlaku atas beberapa sebab seperti enjin memang tidak berfungsi dengan baik, enjin tiba-tiba rosak atas beberapa perkara seperti mekanikal mahupun kesan luaran (kemasukkan burung dan sebagainya)

Masalah aerodinamik yang mungkin juga berlaku atas sebab mekanikal (fatigue) mahupun kesan luaran (burung, banggunan). Tetapi kita boleh mengabaikan kesan fatigue kerana pesawat ini amat baru.

Berat berlebihan yang salah perkiraan juga mungkin berlaku tetapi sepatutnya hal tersebut telah lama dimasukkan ke dalam SOP penerbangan dan dengan pesawat yang baru sebegitu aku rasa sudah lebih canggih sistemnya. Kita tolak ketepi, tetapi jangan abaikan.

Nota: Aku tidak meletakkan sebarang kata kunci khas yang merujuk kepada kemalangan tersebut kerana ini hanya pendapat sendiri. Tiada sebarang nombor-nombor yang boleh dikeluarkan sebagai sandaran.

Atur Cara

Peka Bahasa DBP

Petang ini akaun Twitter DBP ada mengeluarkan satu lembaran Peka Bahasa yang mana aku tertarik dengan perkataan atur cara. Aku terfikir, mengapa atur cara dijarakkan tetapi pengaturcaraan dirapatkan. Adakah kerana imbuhan peng-...-an tersebut menyebabkan perkataan pengaturcaraan tidak boleh berdiri dengan sendiri dan perlu dirapatkan menjadi satu perkataan. Tetapi jika imbuhan tersebut hanya peng- sahaja dia masih boleh berdiri dengan sendiri sebagai contoh kes ini, pengatur cara.

Dewan Bahasa Edisi Keempat

  • Jadual pelbagai acara (kegiatan dsb) yg telah ditetapkan utk dilaksanakan (biasanya dlm sesuatu upacara, persidangan, persembahan, dll)
  •  (Komp) urutan arahan berkod yg dimasukkan ke dlm komputer yg membolehkan data diproses (oleh komputer); pengaturcaraan (Komp) proses membuat atur cara komputer
  • Pengatur cara 1. orang yg mengendalikan sesuatu majlis; 2. (Komp) orang yg menganalisis sesuatu masalah dan menulis atur cara supaya data yg berkaitan boleh di-proses oleh komputer.

Kes yang sama adalah mudah cara, pemudah cara, pemudahcaraan. Sungguh benar, tatabahasa aku dah karat.

Jambangan Bungamu Tersiksa

Apa yang dimaksudkan “jambangan bungamu tersiksa” dalam lagu Ben Nathan, Tak Mungkin Ku Lepas Pergi?

Dulu pernah ku berkata sayang
Tak mungkin ku menanti lagi
Usiamu pun meningkat jua
Jambangan bungamu tersiksa

Aku dah pernah dengar lagu ini beberapa kali tetapi aku masih tidak dapat mencari maksud yang kena dengan rangkap tersebut. Kenapa jambangan bunga?

Adakah bermaksud seri sebagai seorang perempuan? Jika tentang seri mungkin juga ingin mengatakan semakin tua seseorang perempuan itu, serinya semakin layu? Tetapi kenapa dia tak mahu berkahwin sahaja. Adakah kerana tidak bersedia untuk berkahwin. Kerana kita sedang berkata tentang keadaan zaman dahulu yang mana orang kahwin awal. Bukan seperti sekarang.

Adakah bermaksud kemanisan dalam hubungan? Tetapi jika hanya tentang perhubungan takkan diletakkan rangkap “usiamu pun meningkat jua”. Adakah pula tentang simbol kesuburan? Tetapi kalau hanya tentang kesuburan tak nampak kenapa ayat “tersiksa” digunakan disitu.

Yang aku dapat fikirkan adalah perempuan tersebut pernah curang kepadanya dan kini telah dikecewakan oleh lelaki tersebut dan Ben dalam kisah ini mengambilnya kembali dari keadaan kekecewaan. Ini agak logik kerana terdapat rangkap di bawahnya:

Dulu pernah ku berkata dewi
Tak mungkin ku menunggu lagi
Tapi kini ku sedari hati
Tak mungkin ku lepas kau pergi

Jika diambil dalam sudut pandang ini, seperti ada kesinambungan dengan lagu Jamal Abdillah, Bunga Pujaan (aku lebih minat versi Jamal Abdillah dari Eddy Silitongga). Yang keduanya menceritakan tetang kekasih yang telah pergi meninggalkan mereka dah dikecewakan pula oleh orang lain.

Akan ku biarkan tak sampai dihati
Bunga jadi kupetik akhirnya

Bunga Pujaan, Jamal Abdillah

Jambangan

Perkataan “jambangan” digunakan dan bukannya kuntuman. Selalunya perempuan itu diibaratkan sebagai sekuntum bunga bukannya tempat letak bunga seperti pasu. Adakah sebernarnya lagu ini adalah lagu untuk perempuan kepada lelaki bukannya sebaliknya dengan menjadikan lelaki tersebut adalah tempat letak kuntuman bunga (perempuan)? Mungkin juga tidak kerana jika kita ikut pantun ini;

Sirih puan depan tangga,
Menyambung datang orang marhaban;
Tanya puan dijawab duka,
Bunga di jambangan telah kepunyaan

Kurik Kundi Merah Saga, DBP

atau seperti pantun ini

Pergi ke perigi mengambil timba,
Timba terletak tepi halaman;
Walaupun banyak kembang di rimba,
Mawar di jambangan jadi idaman.

Kurik Kundi Merah Saga, DBP

Daripada pantun ini seolah-olah jambangan tersebut adalah ibu bapanya yang menjaga bunga agar kekal segar dan cantik sebelum dipindahkan kepada jambangan yang lain (suaminya). Jika ini diambil kira, maksudnya ibu bapa kepada perempuan tersebut tersiksa untuk menjawab pertanyaan orang kenapa anak daranya masih belum berkahwin sedangkan usianya meningkat. Itu logik dengan keadaan orang zaman dahulu.

Setakat ini, aku rasa yang terakhir itulah jawapannya.

Aku sepasang kasut

Aku terjaga dari tidur yang panjang. Di sebalik semak yang gelap dan meninggi, di situ aku masih terbaring keseorangan. Dibiarkan sedang air dari langit merintik air dingin membasahi muka dan badanku. Ah hujan rupanya. Bukan aku pinta untuk lahir ke dunia ini sebagai peti sejuk. Yang apabila elok disukai kerana isi badanku yang sejuk. Tetapi apabila rosak, semak menjadi temanku. Apakan daya, sudah nasibku. Derap-derap bunyi tapak kaki sesekali aku dengar apabila orang berjalan-jalan melintasi laluan di sekitar ku. Alangkah bagusnya jika aku adalah sepasang kasut, menjadi sebelah kasut pun sudah mencukupi. Ah biarkan aku tidur lagi.

Aku terjaga sekali lagi aku terdengar bunyi bising bisik-bisik dari suara yang ramai. Aku tidak pasti dimana. Keadaan gelap gelita. Yang pasti ada bunyi lori dan bau sekeliling adalah seperti bau kulit binatang yang telah di proses. Ku raba sekeliling badanku, aku jadi sedikit aneh kerana tiada badan yang besar dan berat tetapi hanya sekeping sahaja badanku kini. Aku kurang pasti apa yang terjadi selepas itu, yang aku ingat hanya beberapa perkara.

Aku terlihat cahaya terang dan kemudian ada beberapa tangan-tangan manusia mahupun bukan manusia yang aku rasa itulah mereka kata robot. Aku dipotong beberapa kali, kepada beberapa bahagian. Sakitnya bukan kepalang tetapi apabila aku menjerit tiada siapa yang mendengarnya. Kemudian ku dijahitkan semula. Dicantum satu persatu bahagian badanku dan setelah aku sedar apa yang sedang berlaku, aku tahu aku bukan lagi peti sejuk yang dahulu tetapi aku kini ialah sepasang kasut kulit berkilat  berwarna hitam pekat dengan gaya Oxford. Kagum aku dengan diriku yang baru kerana menjadi sepasang kasut yang punya citarasa yang tinggi di dalam fesyen.

Tidak lama aku di kedai, aku mendapat tuan yang baharu. Seorang pekerja eksekutif di sebuah pejabat ternama. Dia memakaiku hampir setiap hari kerana ada masanya dia merehatkan aku kerana katanya adalah untuk menjadikan aku tahan lebih lama. Aku suka. Dia menggilapku hampir setiap minggu. Paling tidak dia akan memberus badanku. Aku membantunya untuk berjalan ke banyak tempat. Dari pagi hingga petang, dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain. Dari satu pejabat ke pejabat yang lain.

Tetapi semua itu tak lama, selang beberapa tahun dia mula mengabaikan ku. Kadang-kala aku termasuk ke lopak air, kadang-kala debu dan pasir menhinggapi badanku. Tuan ku ini tidak rajin sangat membersihkan aku. Masa beli dahulu dia memang rajin tetapi kini sudah tidak lagi. Lama kelamaan badanku menjadi capuk dan rosak kerana tidak dijaga dengan betul. Apabila semakin rosak dia cuba membaiki ku tetapi tukang kasut yang ditemuinya mengatakan aku sudah tidak boleh dibaiki lagi kerana rosaknya terlalu banyak dan kosnya terlalu tinggi. Tuan ku mendengus kerana dianggapnya kualiti aku tidak bagus walaupun hargaku mahal. Sedih aku mendengar tohmahan tersebut.

Aku dicampakkan ke tong sampah kerana tidak mampu lagi diperbaiki. Selang beberapa hari, pekerja pengumpul sampah mengambil ku dan mencampakkan pula ku ke perut lori sampah yang besar. Tergolek aku ke dalam timbunan sampah tersebut. Aku nampak pintu lori sampah sudah mula menutup secara perlahan. Selamat tinggal dunia. Selamat tinggal semua. Aku menutup mata sambil air mata ku berjurai ke pipi.

Tiba-tiba aku terjaga. Ah, aku bermimpi. Aku kini menjadi peti sejuk yang ditinggalkan semula. Aku terjaga kerana ada seorang yang sedang menaikkan ku ke atas sebuah lori. Di dalam lori tersebut ada beberapa barang rosak yang lain. Kata mereka, lelaki ini orang yang suka memberikan hidup baru kepada barangan rosak seperti aku dan mereka. Maka aku tersenyum, mungkin ada baiknya aku bukan sepasang kasut.

Nota: Imaginasikan diri anda sebagai sebuah peti sejuk. Tulis karangan tentang “Aku Sepasang kasut”. (25 Markah)

Telaga

Barangkali, di tengah telaga
Ada tersisa butiran cinta

Elegi Esok Pagi, Ebiet G. Ade

Daripada pemahaman aku telaga tersebut merujuk kepada perigi yang hampir kosong (atau dipanggil perigi buta) yang kering kotang dan dia mengharapkan masih ada beberapa butiran air (cinta) untuk memberikan harapan. Atas beberapa sebab;

Telaga itu persis kepada perempuan seperti mana di dalam peribahasa “telaga mencari timba” yang dimaksudkan perempuan yang mencari teman hidup lelakinya kerana di dalam konteks masyarakat melayu klasik, tidak biasa perbuatan perempuan yang meminang lelaki tetapi sebaliknya lelaki yang normalnya meminang perempuan.

Telaga juga disinonimkan kepada kemewahan atau harapan di dalam peribahasa “telaga kering hilanglah timba” yang merujuk kepada harapannya masih ada “tersisa butiran cinta” untuknya.

Oleh kerana zaman dahulu tiada sistem pengairan yang betul di kampung-kampung maka telaga itu adalah punca air yang amat penting. Ebiet cuba menjadikan analogi yang rapat dengan manusia ramainya dan dengan itu dia memilih menggunakan analogi klasik. Telaga juga tidak dinafikan selalu disebutkan di dalam mana-mana pantun di dalam bahasa melayu dan aku yakin begitu juga dengan di Indonesia.

Tetapi apabila aku melihat kepada terjemahan di dalam Musixmatch dia menulis telaga sebagai lake atau dalam bahasa melayunya tasik. Maka aku buka laman DBP untuk mendapatkan terjemahan sebetulnya untuk telaga;

[te.la.ga] | تلاݢ

Definisi :
1. perigi, sumur;
2. tasik, danau;
3. ark balung, kolam;
4. = ~ tahi jamban, kakus;
5. = ~ minyak perigi tempat penggalian minyak;

Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa Pustaka
Telaga Wisata [1]

Di Indonesia telaga diterjemahkan sebagai danau (tasik) yang tidak dalam dan bersaiz lebih kecil yang mana dasarnya boleh dilihat secara jelas. Maka aku rasa aku perlu betulkan pemahaman tentang telaga di dalam lagu ini. Maka ayat “di tengah telaga” itu merujuk kepada di tengah tasik yang luas. Boleh dikatakan harapan yang disandarkan kepada perempuan itu adalah amat besar sekali lebih besar daripada telaga yang aku fahami sebagai perigi.

[1] https://www.goodnewsfromindonesia.id/2017/07/31/melepas-penat-di-telaga-sunyi-wisata-asri-nan-sepi

Load Time Kurang 5 Saat

Pagi ini aku terfikir sesuatu. Aku seperti ada terbaca dahulu dalam SSR MAMPU yang syaratnya sesebuah laman sesawang yang bagus adalah berkemampuan untuk load laman sesawang tersebut dalam tempoh kurang daripada beberapa saat. 5 saat mungkin.

Cuma aku aneh, bagaimana mereka membuat pengujian? Adakah dengan meletakkan pada kelajuan internet 10mbps? 30mbps? 50mbps? 100mbps? 1gbps? Ini kerana kelajuan internet memberikan respon yang amat berbeza.

Bagaimana pula pelayar internet? (RIP) Internet Explorer? Edge? Firefox? Chrome? Safari? Opera? Ini disebabkan setiap enjin pelayar dan juga enjin javascript mempunyai prestasi yang berbeza setiap satu. Apatah lagi dengan ada pelayar internet yang tidak menyokong HTTP/2 seperti IE 10 dan kebawah yang akan memberikan prestasi yang begitu jauh jika dibandingkan dengan pelayar internet yang lain.

Cache atau non-cached? Sama ada cache daripada pelayar internet itu sendiri atau melalui CDN seperti Cloudflare. Aku tak berapa pasti adakah panduan rating baru memasukkan sekali kemampuan CDN untuk membuat host sementara jika pelayan utama tidak berfungsi.

Jika laman tersebut menggunakan kaedah PWA atau SPA bagaimana pula? load pertama kali memang sedikit lama tetapi selepas itu seperti tiada hari esok kelajuannya. Adakah patut diambil secara purata atau bagaimana.

Mungkin juga mereka boleh memasukkan penggunaan memori untuk javascript yang begitu tinggi dan gambar yang tidak di-optimizekan akan dikenakan penalti untuk memastikan kualiti laman sesawang adalah yang terbaik untuk mencerminkan kerajaan.

Cadangan Untuk Gobind

Aku tertarik dengan artikel yang mana Kementerian Komunikasi dan Multimedia bercadang untuk mengurangkan harga jalur lebar kepada separuh daripada harga sekarang. Aku biasa dengar janji-janji ini cuma berapa pantas dan berapa kerap dapat dibuat? Setakat ini aku nampak hanya pada janji sahaja. Pencapaiannya belum tentu.

Apa pun aku ingin mencadangkan beberapa perkara yang aku rasa boleh dicadangkan kepada Gobind;

  1. Untuk semua talian tetap di bawah TM, Streamyx dengan kelajuan 1mbps adalah termasuk di dalam pelan. Dengan maksud lain, Streamyx 1mbps adalah percuma. Mungkin dengan kuota atau tiada kuota. Ini dapat meningkatkan kadar penembusan internet di Malaysia terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar yang mana penduduk masih bergantung kepada Streamyx yang prestasinya tidak sepadan dengan harganya. Dengan maksud lain, setiap rumah yang ada talian tetap TM, terus mempunyai internet percuma. Bayangkan peningkatan ketara kadar penembusan interent di Malaysia selepas perlaksanaan tersebut. Ini adalah matlamat pertama – meningkatkan penembusan internet di Malaysia.
  2. Memberikan pembekal servis yang lain untuk membentang backbone mereka ke seluruh Malaysia tanpa perlu bergantung kepada backbone TM sahaja. Ini sekaligus akan mengurangkan kuasa monopoli TM dan juga akan dapat merendahkan harga internet di Malaysia. Dan perlawanan di antara pembekal servis ini juga dilihat dapat mendekatkan jurang di antara kawasan luar bandar yang mempunyai purata kelajuan internet yang perlahan dan kawasan bandar yang mempunyai kelajuan mencapai 100 kali ganda daripada di luar bandar. Jika ini berjaya maka matlamat kedua dapat dicapai iaitu meningkatkan kelajuan purata internet di Malaysia.
  3. Meletakkan syarat kepada pembekal servis untuk membuat semakan semula harga langganan setiap 18-24 bulan. Ini akan memberikan kebaikkan kepada Malaysia dalam jangka masa yang sederhana yang mana peningkatan daripada sudut penembusan internet dan juga purata kelajuan internet negara akan bertambah dari tahun ke tahun. Seperti contoh kaedah yang digunakan oleh Unifi tempoh hari, pelanggan akan diberikan peningkatan kelajuan internet tetapi tidak menaikkan harga langganan.

Buat masa ini itu sahaja tiga perkara yang aku rasa sesuai untuk diketegahkan.

Sembang: Mengapa Lagu Ahmad Jais Dianggap Explicit?

Nota awal: Ini entri sembang ringan. Jika anda biasa dengan spotify dan lagu-lagu melayu klasik, anda akan terperasan bertapa banyak lagu melayu klasik yang diletakkan sebagai explicit. Lagu yang diletakkan simbol explicit adalah merujuk kepada lagu yang mempunyai kata-kata offensive. Aku rujuk daripada google:

explicit (ɪkˈsplɪsɪt,ɛkˈsplɪsɪt) [adj] – stated clearly and in detail, leaving no room for confusion or doubt.
Dengan maksud lain selalunya lagu berbentuk explicit ini adalah yang mempunyai lirik yang boleh menyinggung perasaan orang lain secara terus dan tiada tapis.
lagu-ahmad-jais-explicit
Tetapi aku sedikit aneh apabila lagu melayu klasik seperti Ahmad Jais diletakkan sebagai explicit. Dimanakah explicit tersebut? Aku cuba merungkai isu ini dengan menggunakan lagu Umpan Jinak Di Air Tenang sebagai contoh.

Rangkap 1

Madah berbunga alun suara
Terdengar merdu hanya dendangan
Wajah yang indah ditatap saja
Hati yang satu digadai jangan

Daripada rangkap pertama ini saja sudah boleh digelar explicit. Masakan tidak, teguran secara terus yang diberikan kepada orang muda yang berdarah manis asal nampak yang cantik sahaja nak dipikatnya. Walaupun sudah ada orang dihatinya. Pesanan ini juga sesuai untuk orang muda di zaman mutakhir ini kerana terlalu besar dan luas pengaruh media sosial dalam kehidupan sampaikan terlalu mudah untuk terjumpa orang yang kita tak kenal, hanya suara atau rupa dan jangan terlalu mudah untuk terpikat.

Rangkap 2

Jangan tergoda bintang di awan
Kalau terbitnya di siang hari
Jinak merpati makan di tangan
Jangan dikurung disangkar hati

Teguran diteruskan kepada rangkap kedua iaitu jangan tergoda bintang di awan, kalau terbitnya di siang hari. Bintang disiang hari dalam situasi sekarang boleh dirujuk sebagai mereka-mereka yang suka memviralkan diri tak kene tempat, buat perkara kurang cerdik semata-mata untuk satu-dua review job dan sebagainya. Kerana mereka-mereka ini umpama merpati yang nampak jinak untuk dikenakan dan jangan diletakkan ke dalam hati kerana niat mereka semua adalah untuk menjual produk masing-masing selepas itu.

Kerana mereka semua memerlukan audiance untuk mempromosikan sesuatu dan jika semua orang tak layan, maka golongan ini akan mati kerana matahari yang lebih cerah daripada mereka.

Rangkap 3

Seribu senyum seribu madah
Mungkin dikuntum racun yang bisa
Kalau terkorban jiwa merana
Seribu sesal apa gunanya

Diingatkan lagi kepada orang muda, jangan mudah tergoda dengan senyuman dan rupa kerana siapa yang tahu apa niatnya yang sebenar. Mungkin itu adalah perangkap. Kalau dah terjerat susah nak keluar. Maka berhati-hati dalam kehidupan terutamanya zaman sekarang.

Rangkap 4

Merdu di dengar indah di pandang
Awaslah umpan di air tenang
Kasih dan budi bukan mainan
Tergadai hati jiwa tebusan

Awaslah umpan di air tenang ini perlu digandingkan dengan pepatah lama air yang tenang jangan sangka tiada buaya dan memang secara merujuk kepada dua golongan yang wujud di zaman kini yang penuh dengan perangkap:

  1. Pussy hunter
  2. Dick hunter

Kalau dah masuk perangkap dan di-ransom maka nak keluar daripada permainan tersebut amatlah payah.

Kesimpulan

Maka disebabkan itu aku amat bersetuju bahawa lagu Ahmad Jais, Umpan Jinak Di Air Tenang ini memang patut ada label explicit. Eminem dan Rap God juga tidak mampu menandingi kehebatan lagu ini.

Jika anda tidak bersetuju dengan pendapat ini, sila mohon Spotify betulkan kedudukan lagu ini menggunakan Spotify Line-in.

Sembang: Kata Laluan Anda Kuat?

kata-laluan

Apabila berkata tentang kata laluan, tidak dinafikan ada pelbagai kaedah untuk membuatnya. Tetapi adakah kata laluan anda kuat? Ini adalah cadangan dalam kaedah membina satu kata laluan yang kuat.

Antara cadangan untuk membina kata laluan yang kuat adalah, kata laluan haruslah mempunyai gabungan:

  • Huruf besar
  • Huruf kecil
  • Nombor
  • Karakter khas

Dan setiap laman web perlulah mempunyai kata laluannya sendiri yang tidak dikongsi antara satu sama lain.

7u|<@R٢!

(Baca: Tukar-tukar). Kalau dahulu ini adalah kaedah yang aku guna. Pertukaran aksara biasa kepada aksara nombor dan simbol. Contohnya:

  • T ditukarkan kepada 7.
  • K ditukarkan kepada kombinasi simbol |<.
  • A ditukarkan kepada @.
  • Gandaan dua ditukarkan kepada huruf jawi ٢.

Kaedah ini tidak dinafikan jika disusun bercampur-campur amat kuat. Tetapi apabila kata-laluan tersebut panjang, kerana aku mencadangkan pada tahun 2018 ini, panjang kata laluan adalah lebih daripada 12 aksara; kekuatan untuk mengingati setiap kata laluan yang berbeza untuk setiap laman web itu amat menyakitkan kepala. Maka kebarangkalian untuk orang menggunakan kata laluan yang sama untuk semua laman web adalah tinggi.

Perkara ini pernah dibangkitkan di dalam sebuah komik iaitu XKCD.

xkcd: Password Strength

Kaedah XKCD

Kaedah ini aku panggil sebagai kaedah XKCD disebabkan komik ini yang mencadangkan kaedah seperti ini. Idea disebalik kaedah ini adalah menggunakan perkataan biasa yang digabungkan menjadi sebuah ayat lengkap. Contoh:

Azwan Ali adik Azmin Ali

Boleh ditukar kepada beberapa bentuk seperti dibawah untuk menjadikannya lebih kukuh.

  • azwan-ALI-adik-azmin-ALI
  • azwan-ALI:adik:azmin-ALI!
  • 87 azwan-ALI:adik:azmin-ALI!

Bagaimana pula untuk menjana kata laluan yang berlainan kepada setiap laman web? Anda boleh menambah sesuatu yang menunjukkan laman tersebut adalah laman yang anda maksudkan contohnya laman Twitter:

  • 87 azwan-ALI:adik:azmin-ALI! twitter
  • 87 azwan-ALI:adik:azmin-ALI! burung
  • 87 azwan-ALI:adik:azmin-ALI! tw

Maka sebenarnya anda hanya mengingati satu jenis kata laluan sahaja. Cuma, kaedah ini akan menjadi masalah apabila orang tahu salah satu kata laluan anda dan mereka boleh meneka klu akhir tersebut berdasarkan jenis laman web. Aku sendiri pernah gunakan kaedah ini tetapi kini tidak lagi. Kaedah yang aku gunakan dahulu adalah seperti ini:

Contohnya aku gunakan jam tangan Swatch, System 51 yang aku beli pada tahun 2018. Maka kata laluan asas yang aku gunakan adalah:

Swatch:system 51-2018

Dan aku akan gabungkan mengikut kaedah klu seperti sebelum ini.

Kaedah Janaan Automatik

Kini aku bertukar kepada kaedah janaan automatik. Aku gunakan servis 1Password. Terdapat banyak alternatif lain sama ada berbayar atau percuma. Contoh kata laluan yang dijana adalah:

nwvquX}ua#gtR6&v969oz}HiWm4Diyw6&)bFbBc36pow,E}3ne8sD/wng>FcLCfw

Janaanya adalah mengikut tetapan yang aku buat dan untuk janaan ini aku tetapkan bahawa:

  • Panjang: 64 aksara
  • Digit: 10 aksara
  • Simbol: 10 aksara

Bukankah sukar untuk diingat? Ya, dan ideanya adalah kata laluan ini bukan untuk diingat. Aku hanya perlu mengingat satu kata laluan utama sahaja untuk membuat aplikasi tersebut dan semua yang aku perlukan ada di dalam aplikasi ini.

Cuma masalah terbesar adalah apabila aku tidak menggunakan laptop sendiri atau telefon untuk memasuki satu-satu laman web ataupun server. Maka itu menjadi masalah yang amat besar. Nak menulis satu-satu huruf yang bercampur-campur adalah tidak sesuai. Maka jika aku tahu aku akan perlukan untuk tidak menggunakan laptop atau telefon sendiri maka kaedah kata laluan yang aku cipta adalah menggunakan kaedah yang sebelum ini.

Kesimpulan

Kata laluan anda amat penting kerana data anda amat penting. Untuk mengelakkan masalah dikemudian hari pastikan kata laluan anda cukup selamat dan cukup unik di antara satu laman web kepada satu laman web yang lain.

Nota: Jangan sesekali gunakan mana-mana cadangan kata laluan di dalam entri ini menjadi kata laluan sebenar anda.