Taman: Sungkupan

Sungkup atau mulch adalah satu kaedah menutup tanah atas (topsoil) daripada tiga perkara:

  1. Hakisan yang berlaku apabila air melalui ketika siraman atau hujan.
  2. Penyejatan melampau menyebabkannya kering.
  3. Pertumbuhan rumpai yang sukar dikawal.

Maka untuk mengatasi masalah ini, sungkupan atau mulch dicadangkan.

Bahan Sungkupan

Ada pelbagai kaedah sungkupan yang boleh digunakan. Sama ada organik mahupun tidak organik. Contoh bahan organik adalah:

  • Daun kering
  • Serpihan kayu
  • Serbuk kopi

Manakala bahan bukan organik yang biasa digunakan adalah plastik hitam.

Untuk skala kecil, aku cadangkan untuk menggunakan sungkupan organik di atas dua perkara iaitu:

  • Mengatasi 3 masalah di utama.
  • Nutrien tambahan yang akan terurai menjadi tanah atas yang baharu.

Jangan Terlalu Banyak

Tetapi dalam menggunakan sungkupan organik terdapat satu perkara yang perlu diambik perhatian iaitu jangan terlalu tebal sehinggakan bahan sungkupan menjadi terlalu lembap sepanjang masa. Ini kerana jika bahan sungkupan yang mempunyai tinggi nutrien seperti serbuk kopi mahupun teh berada dalam keadaan terlalu lembap, serangan kulat akan mudah terjadi. Lebih lagi jika kedua tersebut dalam keadaan serbuk. Jika serangan kulat masuk ke bahagian akar, pokok anda boleh mati secara tiba-tiba.

Aku sendiri pernah mendapat masalah ini apabila menanam pokok timun jepun. Pokok yang sihat tetapi sungkupan terlalu tebal (teruja mungkin) dan berlaku serangan kulat menyebabkan pokok yang hari ini segar, keesokkan harinya terus layu walaupun tanah dalam keadaan lembap.

Aku selalu gunakan sungkupan biji kopi hancur kerana selalunya di rumah akan buat kopi sendiri dan serbuk atau biji kopi hancur tersebut akan di letakkan di atas permukaan tanah mengikut keperluan. Sebagai contoh, ada 6 pasu anak pokok limau nipis yang ditanam, maka aku memerlukan biji kopi hancur selama 6 hari untuk memenuhkan semua pasu dengan sungkupan.

pokok-tanpa-sungkupan
Contoh tanah atas pokok tanpa sungkupan.
pokok-dengan-sungkupan
Contoh tanah atas pokok dengan sungkupan biji kopi hancur.

Tiada benih rumpai

Perkara terakhir sebelum anda membuat sebarang jenis sungkupan adalah untuk memastikan tiada benih rumpai di tanah sedia ada terutamanya jika menggunakan sungkupan organik kerana sungkupan organik tidak mempunyai kadar legapan kepada cahaya yang tinggi seperti mana plastik. Ini untuk memastikan halangan sungkupan kepada rumpai lebih bagus.

Taman: Kaedah Potong Dahan Pokok

Pokok yang ditanam kadang-kala perlu dipotong atau dicantas dahannya sama ada besar atau kecil untuk memastikan tumbesaran pokok dalam keadaan terkawal. Lebih lagi pokok seperti Mulberry yang mempunyai kadar tumbesaran yang laju. Sebab lain untuk mencantas pokok adalah disebabkan untuk memberikan pokok tersebut tekanan dan menyebabkannya berbunga pada pucuk baru selepas di cantas. Dalam kes pokok Mulberry, kedua-dua sebab ini diambil kir kerana buah akan terbentuk di hujung dahan dan dahan yang tinggi menyukarkan untuk memetik buah.

Terdapat dua kaedah mencantas yang biasa aku gunakan iaitu:

  1. Satu cantasan.
  2. Dua cantasan.

Satu Cantasan

Kaedah satu cantasan ini adalah kaedah paling biasa digunakan. Terutamanya kepada dahan yang kecil. Sepertimana namanya, hanya ada satu cantasan kepada dahan pokok yang akan mencantas dahan tersebut.

satu cantasan dahan pokok

Seperti gambar di atas, cantasan dibuat di garisan hitam iaitu memotong terus dahan pokok tersebut. Cantasan ini tidak sesuai untuk dahan yang bersaiz besar ataupun panjang kerana tekanan yang terhasil semasa pemotongan boleh menyebabkan kulit pokok di bahagian bawah akan mudah terkoyak melebihi keperluan seperti yang ditunjukkan dengan garisan jingga.

Ini menyebabkan tekanan yang tidak diperlukan dikenakan kepada pokok dan meningkatkan kadar jangkitan pada pokok kerana fungsi kulit pokok adalah seperti kulit manusia iaitu sebagai lapisan pertahanan paling luar.

Jika berlaku kes di mana perlu memotong dahan yang besar ataupun panjang, maka aku cadangkan kaedah dua cantasan digunakan.

Dua Cantasan

Seperti namanya, kaedah dua cantasan memerlukan pengguna membuat dua kali potongan. Iaitu satu potongan penuh dan satu potongan separa.

dua cantasan dahan pokok

Kaedah ini dimulakan dengan membuat satu potongan kecil (1/3 hingga 1/2 daripada saiz dahan) daripada bawah dahan seperti mana garisan kuning dalam gambar di bawah. Kemudian kita perlu membuat potongan terus dengan jarak 2 hingga 3  inci lebih tinggi daripada potongan pertama.

Secara teorinya, dengan menggunakan kaedah ini tekanan yang menyebabkan kulit pokok terkoyak semasa dahan hampir terpotong tidak berlaku kerana kulit pokok di bahagian bawah dahan telah dipotong terlebih dahulu dan akan dahan akan terpatah pada garisan jingga.

Kesannya adalah potongan yang lebih kemas dan tidak memberikan tekanan yang tidak perlu kepada pokok dan mengurangkan luas permukaan yang terbuka kepada jangkitan.

Tambahan

Kedua-dua kaedah cantasan ini boleh dipraktikkan dengan menggunakan gergaji manual mahupun gergaji elektrik.

PictureThis: Shazam Untuk Pokok

picture this

Aplikasi yang menumpukan kepada pengecaman sesuatu objek bukanlah baharu di dalam dunia mutakhir ini kerana perkembangan teknologi seperti TensorFlow yang memudahkan sesebuah aplikasi seperti ini dihasilkan. PictureThis adalah salah satu daripada mereka yang mengambil inisiatif untuk membuat pengecaman objek tetapi khusus kepada tumbuhan sahaja. Lebih spesifik sebenarnya lebih kepada tumbuhan berbunga.

Cara guna

Kaedah penggunaannya amat mudah, pengguna hanya perlu;

  1. Mengambil gambar tumbuhan (baca: bunga)
  2. Sistem akan membuat pengecaman
  3. Sistem akan memberikan cadangan jenis tumbuhan.

Walaupun tidak semua tumbuhan dapat dicari, tetapi aplikasi ini aku lihat sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang mahu mengenali sesebuah pokok atau bunga.

Tips & Idea

Aku nampak aplikasi ini boleh dipanjangkan dengan mengajak orang mengenali sesuatu pokok yang ada di sesebuah taman secara kaedah permainan seperti contoh, Treasure Hunting menggunakan klu dan perlu di verified dengan aplikasi ini. Sebagai contoh yang mudah apakah nama lain bagi pokok jejarum?. Syaratnya perlu membuat pengecaman menggunakan aplikasi ini dan mereka akan mencari pokok tersebut di sekitar taman dan membuat pengecaman. Sekaligus menjadikan permainan tersebut satu pengajaran dan aktiviti fizikal. Nampak macam satu aktiviti yang sihat.

Muatturun

Untuk yang berminat boleh muat turun di:

PictureThis via Apple Store

atau

PictureThis via Google Play